Tumpuan :
Jenayah

Polis kesan saksi kes anggota peras & terima suapan dari pelancong asing 

 

Foto: NSTP

ALOR SETAR: Polis sedang mengesan individu yang terbabit bagi membantu siasatan berhubung rakaman video yang membabitkan anggota polis yang disyaki melakukan pemerasan dan menerima suapan daripada pelancong asing di Langkawi.

Berikutan itu, satu laporan polis diterima berkaitan video yang ditular itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya juga dalam usaha untuk mengesan saksi-saksi yang terbabit untuk membantu siasatan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa peka dan mengambil berat berkaitan sebarang salah laku membabitkan anggota dan pegawai polis serta sentiasa bersikap profesional dalam memastikan ketelusan tindakan dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, rakaman video berdurasi 1 minit 44 saat yang tular di aplikasi Tiktok Isnin lalu memaparkan seorang lelaki dan seorang perempuan warga disyaki warga asing bermotosikal  ditahan oleh penguatkuasa disyaki anggota polis atas kesalahan lalu lintas iaitu tidak memakai topi keledar di Kawasan Pulau Langkawi.

Menerusi rakaman itu terdapat audio perbualan antara warga asing dan penguatkuasa di mana warga asing terbabit ditawarkan untuk membayar saman sebanyak RM100 tanpa resit di tempat ditahan.

Media semalam melaporkan, Polis mengesahkan siasatan menyeluruh dijalankan susulan video tular pelancong warga Australia yang menunggang motosikal didakwa membayar RM100 kepada anggotanya di pulau itu untuk mengelak dikenakan tindakan.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini