Tumpuan :
Jenayah

Polis kesan 267 kes curi dalam pesawat di KLIA sejak 2022

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 267 kes kecurian dalam pesawat dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 2022.

Untuk tempoh sama, seramai 30 warga asing telah ditahan selepas didapati terbabit dalam kes kecurian yang disyaki berlaku semasa penerbangan antara negara Asean mahupun penerbangan domestik di Malaysia.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek yang terbabit dalam kes ini bergerak secara berseorangan atau berkumpulan antara dua hingga empat orang.

“Suspek yang terbabit dalam kejadian curi ini secara kebiasaannya adalah dari kalangan penumpang sesebuah pesawat yang menjadi sasaran mereka.

“Suspek disyaki akan mengambil kesempatan mencuri barang milik mangsa (penumpang lain) dengan pelbagai cara termasuk mengambil barang di ruang bagasi yang dibawa penumpang atau ‘hand carry’.

“Secara lazimnya, suspek akan menunggu sehingga mangsa atau penumpang lain sedang tidur atau semasa lampu dalam pesawat dimalapkan ketika penerbangan jarak jauh,” katanya kepada BH baru-baru ini.

Hussein berkata, antara barangan popular yang menjadi sasaran pencuri ini adalah kad kredit, barang kemas, wang tunai dan dompet.

Katanya, sejak dua tahun lalu, kes kecurian barangan semasa penerbangan mencatatkan peningkatan dengan 33 kes pada 2022, 88 kes pada tahun lalu dan 146 kes sehingga Oktober tahun ini.

“Walaupun lebih 200 laporan polis dibuat, namun hanya 26 kertas siasatan telah dibuka manakala baki siasatan kes tidak dapat diteruskan selepas mangsa gagal memastikan bilakah barang berkenaan hilang.

“Siasatan juga tidak boleh dijalankan kerana tiada tangkapan dan mangsa (penumpang) telah meneruskan perjalanan ke negara lain atau sudah kembali ke negara asal.

“Ada juga mangsa yang cuai atau lalai selepas mereka sendiri tersalah meletakkan barang berharga milik mereka sehingga menyebabkan kehilangan barang dan membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, seramai 26 suspek telah ditahan sepanjang tahun ini manakala empat lagi suspek ditahan pada tahun lalu.

“Mereka ini ditahan oleh krew kabin sesebuah syarikat penerbangan yang mengesan kejadian kecurian sebelum diserahkan kepada pihak polis sebaik tiba di KLIA.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penumpang sesebuah penerbangan yang membawa bagasi sendiri ke dalam pesawat untuk mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memasang kunci bagi mengelak menjadi mangsa kes kecurian.

“Langkah lain yang boleh diambil adalah meletakkan barangan yang dibawa di hadapan mereka (bahagian kaki), menyimpan di ruang bagasi dalam petak di atas atau di hadapan mereka.

“Penumpang juga disaran untuk segera melaporkan sesuatu kejadian kepada krew penerbangan sekiranya mereka menghadapi kehilangan barang atau mengesan individu yang mencurigakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini