KUALA LUMPUR: Dua individu masing-masing rakyat tempatan dan warga Indonesia, ditahan polis selepas mempromosikan skim pelaburan mata wang asing (Forex) rentas sempadan secara bersemuka kepada sekurang-kurangnya 51 mangsa.
Hasil siasatan, skim penipuan pelaburan Forex yang didalangi warga Indonesia dan Malaysia ini menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM11,990,768 kepada pelabur sejak awal tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, skim penipuan itu menggunakan syarikat PT Sentratama Investor Future, beralamat di Indonesia sebagai broker yang menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.
“Dua syarikat lain terbabit dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka turut dikenal pasti namun ianya tidak rekod dalam pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan berkemungkinan beroperasi dari Indonesia.
“Malah, hasil semakan perbankan dua syarikat itu juga sudah disemak dan mendapati tiada wang yang disimpan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli berkata, dua individu yang ditahan pada September dan Oktober lalu itu berusia 33 dan 58 tahun sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang menjadi mangsa sindiket penipuan ini dinasihatkan tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan,” katanya.
Mana-mana pihak yang ingin menyertai apa jua skim pelaburan dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal Semakmule CCIS, Alert List Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, mengenai kesahihan sesebuah syarikat pelaburan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.