GEORGE TOWN: Polis sudah mengenal pasti individu yang disyaki terbabit dengan perbuatan khianat merosakkan motosikal di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini, yang tular di media sosial.
Difahamkan, suspek berusia 41 tahun itu didapati mempunyai rekod jenayah keganasan rumah tangga.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima tiga laporan berhubung kejadian itu pada Khamis dan Jumaat.
“Semalam, polis juga sudah mengesan video tular mengenai perbuatan khianat itu yang dimuat naik di laman X .
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Khamis lalu, kira-kira jam 6 petang berhampiran sebuah kondominium di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini.
“Ia membabitkan kerosakan dua motosikal dan sebuah topi keledar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, polis akan melengkap siasatan kes berkenaan dalam masa terdekat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.