comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis kenal pasti mayat di tepi jalan seorang akauntan

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki  yang ditemui dalam keadaan bogel dengan beberapa kesan kecederaan pada badan di tepi jalan di kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru, petang tadi, dikenal pasti polis, seorang akauntan swasta rakyat tempatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, identiti mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 28 tahun terbabit sudah disahkan oleh warisnya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin

“Mayat lelaki yang bekerja sebagai akauntan sebuah syarikat swasta itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian serta tertiarap di tepi jalan dengan kecederaan pada bahagian badan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap mayat mangsa di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya sudah dikenal pasti dan disahkan oleh waris,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, untuk proses bedah siasat, esok.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini