Tumpuan :
Jenayah

Polis Kelantan sahkan terima laporan pedofilia terhadap seorang murid lelaki

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada pegawainya pada Majlis Iftar Ramadan Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 Kontinjen Kelantan Tahun 2024. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan sudah menerima laporan mengenai seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang didakwa melakukan aktiviti pedofilia terhadap seorang murid lelaki.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata laporan itu dibuat oleh pelajar berkenaan dan dalam masa sama pihaknya juga akan cuba mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi lain.

Beliau berkata pihaknya akan melihat mengenai kebenaran dalam apa yang dinyatakan menerusi keterangan daripada saksi dan siasatan dibuat secara telus dan adil serta tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Semua saksi termasuk guru, murid dan sesiapa yang pernah dihubungi guru berkenaan diminta tampil untuk membantu siasatan yang mengambil kira dalam semua aspek termasuk kandungan WhatsApp yang dihantar.”

Tambahnya, siasatan akan dilakukan secara terperinci dan jika perlu ia akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Iftar Ramadan Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 Kontijen Kelantan Tahun 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata sekiranya benar-benar prihatin dan peka dengan perkara ini, saksi diminta tampil memberi keterangan dan jika mahu dirahsiakan boleh menghubungi pihak polis secara terus untuk membantu siasatan.

“Pada masa sama, siasatan dalaman yang dilakukan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut membantu dan mungkin juga pihak kami akan mendapatkan pandangan daripada mereka berhubung perkara ini.”

Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti mangsa dan suspek.

Media semalam melaporkan, MARA sudah mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan seorang guru terlibat dengan pedofilia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata satu pasukan dari ibu pejabat MARA sudah ditubuhkan bagi meneruskan siasatan, termasuk akan mengunjungi MRSM Tumpat dalam tempoh terdekat.

Beliau turut memaklumkan bahawa guru terbabit sudah digantung tugas sehingga keputusan siasatan kes itu diperolehi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini