Tumpuan :
Jenayah

Polis Kelantan Rampas Dua Senapang Dalam Ops Tapis

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas selaras senapang patah serta selaras senapang angin, dan menahan lapan individu termasuk seorang lelaki warga Thailand dalam dua serbuan Ops Tapis Khas, Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dalam serbuan di sebuah bangsal dekat kelapa sawit di Felda Ciku 2, Gua Musang, polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia 22 hingga 39 tahun.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di bangsal itu membawa kepada penemuan satu plastik hitam yang mengandungi bahagian-bahagian daging dipercayai kijang dan selaras senapang patah serta 15 butir peluru hidup bore 12 dalam balutan kanvas.

“Kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 60(1)(b) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010.

Muhamad Zaki berkata dalam satu lagi serbuan pada kira-kira pukul 10.40 malam hari yang sama, polis merampas selaras senapang angin dipercayai buatan sendiri sepanjang 113 sentimeter dan sebiji bebola besi disyaki digunakan sebagai peluru, di sebuah rumah di Kampung Air Limau dekat Gual Ipoh, Tanah Merah.

“Kita telah menahan reman tiga lagi individu selama empat hari, dan kes disiasat di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
– BERNAMA

Loading...
Terkini