KOTA BHARU: Polis Kelantan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengekang kemasukan dadah baru iaitu Fentanyl yang sangat berbahaya kerana mempunyai kesan 100 kali lebih kuat daripada heroin.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah berkenaan juga 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada morfin.
Setakat ini katanya, sudah ada cubaan untuk membawa masuk dadah ini dari negara jiran ke Kelantan, namun ia tidak berjaya.
“Ini berikutan kawalan di sempadan negeri ini yang ketat sekali gus dapat mengekang kemasukan dadah berbahaya berkenaan.
“Justeru, kita sudah mengadakan perbincangan mengenai keselamatan sempadan dengan Perwakilan Parlimen Thailand pada 26 April lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, perbincangan itu bagi meningkatkan kawalan di sempadan memandangkan sebelum itu sudah ada cubaan membawa masuk dadah jenis Fentanyl ke negeri ini.
“Pihak polis sentiasa bersedia untuk mengekang kemasukan dadah itu kerana ia sangat berbahaya dan difahamkan penagihnya akan menjadi seperti ‘Zombie’ jika mengambilnya.
“Difahamkan dadah ini dibawa masuk di sempadan Myanmar-Thailand dan sangat dekat dengan negara kita.
“Untuk terus menggagalkan kemasukan dadah ini ke Kelantan, semua Ketua Polis Daerah, ketua kampung, wakil rakyat dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.