
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya merampas 200 kilogram (kg) dadah dipercayai syabu bernilai RM6.4 juta selepas mengejar sebuah pacuan empat roda jenis Pajero sejauh 15 kilometer (km) dalam kejadian di Tumpat.
Rampasan dadah dilakukan sepasukan anggota dari Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 8.30 malam Ahad lalu itu sebaik menyedari sebuah pacuan empat roda dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Kampung Nibong.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dua anggota PGA terus mengejar Pajero berkenaan selepas kenderaan itu merempuh penghadang di sekatan jalan raya PGA.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di Chabang Empat, Pajero itu berhenti akibat tayar pancit sebelum dua lelaki melarikan diri ke dalam kawasan kampung.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 200 bungkusan mengandungi 200kg dadah jenis syabu bernilai RM6.4 juta.
“Pada masa sama, kita turut menemui telefon bimbit milik salah seorang suspek,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, semakan terhadap kenderaan terbabit mendapati Pajero berkenaan milik seorang lelaki dari Tumpat berusia 39 tahun yang turut berada dalam kenderaan itu ketika kejadian.
“Semakan menerusi telefon bimbit yang juga pemilik sama kenderaan itu, suspek turut menghantar pesanan kepada isterinya supaya melarikan diri dan memaklumkan polis akan mencarinya.
“Kita sudah mengambil keterangan isteri mangsa dan kini memburu suspek dikenali sebagai Faizal dari Kampung Bendang Pok Yong dan rakannya berusia 30-an. Bekalan dadah ini juga dipercayai milik Faizal,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan boleh digunakan kira-kira dua juta penagih.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.