BANGI: Polis Kajang melupuskan barangan kes jenayah antaranya mesin perjudian, mesin bitcoin dan kat ATM membabitkan nilai keseluruhan RM2.4 juta menggunakan kaedah e-waste dan jualan sisa besi serta pepejal.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pelaksanaan pelupusan barang kes itu mengikut kaedah dan peraturan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) dan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.
Menurutnya, pelupusan itu membabitkan sejumlah barang kes jenayah bagi tempoh 2021 hingga 2023.
“Selain itu turut diadakan sesi lelongan sembilan kenderaan barang kes yang tidak dituntut.
“Tindakan pelupusan barang kes kali ini membabitkan 193 kertas siasatan Bahagian Siasatan Jenayah serta 24 kertas siasatan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
”Semua berjaya diselesaikan dengan tindakan pendakwaan dan pesalah dijatuhkan hukuman,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes dan Lelongan Kenderaan IPD Kajang di Balai Polisi Bandar Baru Bangi, hari ini.
Mohd Zaid berkata, arahan pelupusan diperolehi daripada pihak pendakwaraya serta diluluskan mahkamah yang meliputi Barang kes Op Dadu (perjudian) berjumlah 3,482 buah set mesin slot, komputer, komputer riba, telefon bimbit dengan nilai rampasan RM212,500.
“Barang kes Op Kontraban (rokok minuman keras tidak bercukai) pula membabitkan rampasan 92,226 tin minuman keras bersama 843 botol arak serta 15,264 karton sebanyak RM1.45 juta.
“Barang kes Op Elektrik membabitkan sejumlah 765 buah mesin bitcoin dengan nilai rampasan sebanyak RM180,000,” katanya.
Mengulas lanjut, bagi barang kes Op Merpati (calling centre scammer) katanya adalah 127 unit set komputer / laptop, 898 telefon bimbit, 186 kad ATM, barang kes am yang kesemuanya bernilai RM652,000.
“Hasil pemeriksaan jumlah nilaian keseluruhan pelupusan barang kes ini adalah dianggarkan lebih kurang RM2,494,500,” katanya.