JOHOR BAHRU: Satu sindiket pengedaran dadah ditumpaskan polis apabila berjaya menahan dua lelaki yang juga dalang utamanya selain merampas hampir 24 kilogram dadah bernilai RM4 juta di dua kondominium di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, sindiket itu tumpas menerusi dua serbuan bermula 8.45 malam pada 10 Januari sehingga 6.30 pagi, 11 Januari lalu.
“Keseluruhannya, empat individu ditahan membabitkan dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia 20 tahun hingga 30 tahun.
“Keempat-empatnya bersahabat dengan dua lelaki terbabit menjadi dalang pengedaran dadah itu sejak Oktober 2024,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Menurut beliau, kesemua suspek negatif dadah namun seorang daripada dalang sindiket memiliki rekod jenayah lampau.
“Taktik sindiket ialah menjadikan kediaman mewah sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah untuk pasaran di sekitar Johor Bahru.
“Bekalan dadah pula dipercayai diperoleh dari utara tanah air,” katanya.
Dadah dirampas membabitkan serbuk ekstasi bernilai RM3.9 juta, 296 gram ketamin bernilai RM59,200 dan 13.2 gram (66 biji) pil Eramin 5 bernilai RM1,320 dengan kesemua dadah itu cukup untuk kegunaan 80,946 penagih.
Polis turut menyita pelbagai peralatan pembungkusan semula dadah, sebuah kereta bernilai RM30,000 selain wang RM2,761.
Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 11 Januari hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada perkembangan lain, menurut Kumar, sepanjang 1 Januari sehingga 16 Januari ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor menahan 1,184 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
“Sepanjang tempoh sama, kami merampas 155.75 kilogram dan 266.55 liter dadah berjumlah keseluruhan RM21.68 juta.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi talian 012-2087222.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.