JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor berjaya menumpaskan 19 sindiket pusat panggilan yang menjalankan aktiviti penipuan sejak Januari hingga September lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata pusat panggilan itu menjalankan aktiviti penipuan seperti pelaburan, tipu tawaran kerja, menyamar sebagai rakan, pinjaman tidak wujud dan ‘phone scam’.
“Menerusi serbuan pusat panggilan yang beroperasi dalam premis, seramai 156 suspek ditahan membabitkan warga tempatan dan juga warga asing.
“Sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka dan tujuh daripadanya telah dituduh di mahkamah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan; Seksyen 6(1)(c) dan 15(1) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor bagi Oktober 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Menurutnya, JSJK Johor akan terus mengesan, menangkap dan menjalankan siasatan terhadap mana-mana premis yang dijadikan sebagai pusat panggilan seumpama itu.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan kempen berkaitan kesedaran jenayah komersial kepada orang ramai bagi memastikan mereka mempunyai informasi terkini dan sentiasa cakna bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Langkah-langkah pencegahan jenayah turut dilaksanakan melalui pelbagai program bertujuan mendekati masyarakat untuk mendapatkan keterlibatan dan kerjasama mereka.
“Melalui program keselamatan kejiranan contohnya, setiap pegawai polis wanita di setiap balai adalah ahli Amanita yang berperanan sebagai ‘Neighbourhood Safety’,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dari Januari hingga bulan lalu, jumlah kes jenayah indeks Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor menunjukkan peningkatan 5.61 peratus bersamaan 4,027 kes berbanding 3,813 kes bagi tempoh sama pada 2023.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan kes itu adalah terkawal dan JSJ Johor berjaya menyelesaikan 62.63 peratus daripada kes yang disiasat.
Selain itu, Kumar berkata, dalam memerangi jenayah narkotik pula, sehingga September lalu seramai 19,155 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berada di kedudukan ketiga tertinggi di antara kontinjen dengan rampasan sebanyak 5.40 tan dadah yang bernilai RM57.84 juta.
“JSJN Johor juga berjaya menyita pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM13.96 juta,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.