Tumpuan :
Jenayah

Polis Johor tahan 14 ahli sindiket ‘scammer’ tawaran kerja

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika sidang media tangkapan kes scammer tawaran kerja di IPK Johor.

JOHOR BAHRU: 14 individu dipercayai ahli sindiket penawaran kerja dalam talian ditahan Polis Johor susulan serbuan di dua rumah teres di Taman Mount Austin di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata semua 14 yang ditahan berusia antara 17 hingga 31 tahun termasuk tiga wanita serta seorang lelaki warga asing.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menyasarkan mangsa dari luar negara terutama Singapura, dengan menawarkan kerja sebagai ejen pelancongan melalui iklan di media sosial itu.

Mengulas modus operandi sindiket, katanya, ejen pelancongan yang diambil bekerja akan menguruskan tempahan bilik hotel secara dalam talian dan menerima komisyen sehingga SGD$6 bagi sebuah bilik.

“Apabila tempahan sudah banyak, pelanggan diminta untuk menambah nilai bagi membolehkan tempahan seterusnya dibuat.

“Ia menyebabkan kerugian kepada mangsa sehingga mencecah ribuan ringgit. Namun sehingga kini kerugian sebenar dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan sama pihaknya merampas 20 unit komputer riba, 32 telefon bimbit dan satu unit papan putih, dengan sindiket menggunakan talian telefon yang didaftarkan di luar negara.

“Anggota sindiket berperanan sebagai pegawai sumber manusia dengan tawaran gaji antara RM2,500 hingga RM4,000, namun hanya sempat menerima sebulan gaji.

“Polis Johor bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi mendapatkan maklumat lanjut mengesan saki baki anggota sindiket penipuan ini.

“Justeru, kita nasihatkan orang awam lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pekerjaan yang menjanjikan pulangan dan komisen lumayan dalam masa singkat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini