comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Polis Johor rampas cecair vape, rokok elektronik RM1.55 juta

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas cecair vape, peranti serta aksesori rokok elektronik bernilai RM1.55 juta di sebuah premis di Taman Eko Perniagaan, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kejayaan itu hasil siasatan dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan.

 

Katanya, tiga suspek membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 22 hingga 25 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek adalah pekerja dan penjaga premis vape yang menjual pelbagai jenis cecair vape dan peranti serta aksesori rokok elektronik.

Rampasan membabitkan 2,753 kotak berisi 53,421 pek pelbagai jenis cecair vape dan peranti rokok elektronik.

Kesemua nilai rampasan bernilai RM1.55 juta membabitkan cecair vape (RM1.29 juta) dan peranti dan aksesori rokok elektronik (RM253,048), dengan kesemua barangan berkenaan dijual di premis selain secara dalam talian.

“Di Johor, tidak dibenarkan sebarang penjualan cecair dan peranti vape oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia telah digazetkan sebagai kesalahan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar dan Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tiada rekod lampau atau disenaraikan dalam senarai orang dikehendaki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kamarul Zaman turut menasihatkan mereka yang terbabit dengan aktiviti penjualan cecair vape dan peranti rokok elektronik supaya menghentikan segera penjualan produk berkenaan.

Difahamkan, cecair vape yang dirampas itu mengandungi nikotin yang melebihi daripada dibenarkan di bawah Akta Racun sekali gus membahayakan pengguna.

Loading...
Terkini