Tumpuan :
Jenayah

Polis Johor bongkar taktik sindiket edar dadah guna kereta buruk, lama

Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar (kanan) melihat kereta yang digunakan sebagai stor penyimpanan dadah yang disita. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesan satu modus operandi menggunakan kereta buruk dan lama untuk membawa bekalan dadah, sebelum diedarkan secara runcit untuk dijual kepada pengedar dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, modus operandi yang digunakan sindiket pengedaran dadah ini bagaimanapun tumpas dengan penahanan empat lelaki warga tempatan termasuk dalang, dalam dua serbuan berasingan di Kulai dan Skudai pada Rabu lalu.

Katanya dalam serbuan lebih kurang jam 4 petang hingga 9 malam, menerusi operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, turut merampas pelbagai dadah bernilai RM 309,192.

“Sindiket ini juga menggunakan kenderaan tersebut sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Serbuan pertama dibuat ditepi jalan daerah Kulai dan menahan tiga suspek bersama sebuah kereta dengan sejumlah dadah.

“Manakala serbuan kedua berjaya menahan lagi seorang suspek bersama kenderaan yang diparkir di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium berpagar dan berpengawal, yang berisi ganja mampat dalam sebuah kereta yang dijadikan stor penyimpanan.

“Dalam dua serbuan ini, pihak polis berjaya merampas 55,904 gram ganja (RM173,302); 11,795 gram heroin (RM113,493), 122.70 gram syabu (RM13,497), 21 gram pil eramin 5 (RM1,400) dan 70 gram pil ekstasi (RM7,500),”katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Kumar, hasil saringan urin mendapati dua daripada kesemua suspek berumur 29 hingga 49 tahun, positif dadah jenis methamphetamine.

Manakala hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Bekalan dadah ini dipercayai diperolehi dari Kuala Lumpur, dan sindiket ini juga bertindak sebagai pemborong yang seterusnya menjual secara rincit dengan dipaketkan semula dengan peket kecil.

“Pelanggan mereka adalah penagih dadah yang mereka tahu lokasi dimana untuk menjual. Kegiatan mereka tidak melibatkan orang lain sebagai penghantar. Semua dilakukan oleh ahli sindiket ini, yang menyukarkan ianya dikesan.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 115,712 penagih dadah sekiranya terlepas.

“Dalam serbuan ini turut disita dua buah kereta yang digunakan sebagai stor penyimpanan, sebuah motosikal, seutas rantai emas dan wang tunai berjumlah RM233,”katanya memaklumkan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Oktober depan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini