![](https://media.buletintv3.my/2025/02/NEW-PP-CMS-2025-02-14T141442.920.jpg)
JOHOR BAHRU: Tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura ditahan polis susulan tujuh siri serbuan terhadap sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini yang menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3 juta, minggu lalu.
Suspek berusia antara 41 hingga 48 tahun itu ditahan dalam operasi khas dijalankan jam 12.10 tengah malam, 6 Februari hingga jam 1.30 pagi, 7 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak bulan lalu itu, beroperasi dengan cara membungkus semula dadah ke dalam paket kopi dan koko pracampuran yang mana setiap bungkusan dicampur dengan pelbagai jenis dadah.
Beliau berkata, setiap paket ‘minuman dadah’ itu dijual dengan harga antara RM200 hingga RM250.
“Sindiket ini menjadikan kondominium berpagar sebagai stor simpanan dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Mengulas mengenai operasi yang dijalankan, Kumar berkata, pihaknya terlebih dahulu menahan seorang lelaki tempatan di tepi jalan sekitar daerah ini pada 6 Februari lalu.
“Ketika Unit Kereta Peronda (MPV) melakukan rondaan di daerah ini, mereka telah menahan seorang lelaki tempatan yang dalam keadaan mencurigakan sebelum hasil pemeriksaan menjumpai 1.57 gram syabu.
“Kemudian, kita melancarkan operasi dan melakukan enam serbuan susulan di tiga kondominium dan sebuah rumah teres sekitar Danga Bay, Taman Setia Indah, Taman Pelangi Indah dan Tampoi yang mana semua unit kediaman ini disewa oleh sindiket.
“Dalam semua serbuan, kita menahan dua lagi individu termasuk warga Singapura dan merampas pelbagai jenis dadah,” katanya.
Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 15,333 gram disyaki serbuk ekstasi; 1,008 gram disyaki ketamin; 1,357.17 gram syabu; 294 gram disyaki ganja; 2,886 gram pil ekstasi dan 1,784 gram pil erimin 5 yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM3.178 juta.
“Kita percaya dadah ini diperoleh dari Kuala Lumpur yang mana jika terlepas ke pasaran ia boleh digunakan oleh 77,279 orang penagih,” katanya.
Kumar berkata, polis turut menyita empat kereta, sebuah motosikal, 14 jam tangan, barang kemas dan wang tunai RM1,491 dan Singapura Dolar SGD117.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif methamphetamine.
Katanya, hasil semakan rekod pula mendapati suspek pertama iaitu lelaki tempatan berusia 41 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Tiga suspek terbabit kini ditahan reman sehingga Isnin ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya masih dalam siasatan untuk mengenal pasti ahli sindiket lain yang terbabit termasuk sekiranya ada dalang di negara luar.
“Kita percaya ada saki-baki lagi ahli sindiket, tetapi kita percaya untuk ‘local player’ kita dah tangkap, cuma mungkin ada rangkaian yang lain,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.