TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur dua lokasi panas di sini, menerusi ‘Ops Sarang Bersepadu’ dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang dilaporkan sering menimbulkan masalah sosial di kawasan itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi membabitkan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Pencegahan jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).
Menurutnya, operasi berasingan yang bermula jam 8 pagi itu menyasarkan dua kawasan perkampungan iaitu masing-masing di Kampung Vietnam dan Kampung Pukat yang dikenalpasti sebagai ‘sarang’ penagihan dan pengedaran dadah.
“Menerusi operasi itu seramai lapan lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah serta merampas beberapa paket dadah.
“Selain itu, lima individu turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, kesemua individu yang ditahan berumur antara 20 hingga 60 tahun.
“Kes disiasat masing-masing mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesalahan Imigresen disiasat Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata operasi bersepadu membanteras aktiviti penagihan dan pengedaran dadah akan terus diperhebat dari masa ke semasa bagi menangani masalah sosial selain menjamin kesejahteraan penduduk setempat di daerah ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar menyalurkan apa sahaja maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing termasuk berkaitan kes dadah dan sebagainya.