KUALA LUMPUR: Sepuluh premis dijadikan sarang judi dalam talian di sekitar ibu negara, dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik menerusi Ops Dadu Khas, semalam.
Operasi bermula 9.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Balai Polis Tun H S Lee dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pemotongan itu dijalankan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Tindakan diambil bertujuan bagi mengelakkan premis terbabit kembali aktif menjalankan semula aktiviti perjudian dalam talian.
“Semasa pemotongan bekalan elektrik, didapati premis tidak berpenghuni dan operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya, hari ini.
Menurutnya, pihak sindiket judi terbabit hanya membenarkan pelanggan tetap untuk memasuki premis yang lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) itu.
Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian dalam talian bagi membantu pihak polis membanteras gejala itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.