KUCHING: 26 individu dicekup termasuk tiga daripadanya wanita kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mempromosi perjudian dalam talian di dua kondominium yang dijadikan pusat panggilan atau ‘calling centre’ di dua lokasi berasingan, di Padawan.
Serbuan pertama di sebuah kondominium di Lorong Dogan 3 pada 7 November lalu, polis menahan sembilan individu yang sedang leka mengendalikan pusat perjudian itu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, dalam serbuan kedua di kondominimum di Jalan Sunny Hill Garden pula, polis menahan 17 suspek.
Katanya, semua suspek adalah warga asing berusia antara 18 hingga 33 tahun dan polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya set komputer, komputer riba, moden dan telefon pintar.
“Siasatan awal mendapati pusat perjudian dalam talian itu beroperasi 24 jam dengan pekerja menjalankan tugas mengikut syif.
“Pusat perjudian itu dikenal pasti aktif sejak satu tahun tiga bulan yang lalu dan berdasarkan rekod transaksi yang berjaya disemak, mereka meraih keuntungan mencecah RM240,000 sebulan dan polis masih memburu pemilik kondominium berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Mancha berkata, semua warga asing terbabit masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong.
“Kertas siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun.
“Bagi setiap mesin judi yang dirampas pula, suspek juga boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000,” katanya.
Menurutnya lagi, kesemua suspek turut direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh.