KLANG: Polis sedang mengesan beberapa lelaki memukul pemandu lori kontena, selepas terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh dekat Kampung Telok Gong di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima satu laporan daripada pemandu lori kontena berusia 36 tahun itu, mendakwa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera.
Siasatan polis mendapati dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, pengadu sedang memandu lori kontena dengan peralatan membuat paip di Jalan Telok Gong dan ketika melalui simpang Jalan Bawal, Telok Gong, secara tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari persimpangan jalan berkenaan.
“Penunggang motosikal bersama dua pembonceng iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya sehingga kanak-kanak perempuan tergilis tayar belakang lori dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Setelah kemalangan berlaku, sekumpulan lelaki kemudian berkumpul di lokasi kejadian dan memukul pemandu lori kontena dan memecahkan cermin hadapan kenderaan itu.
“Akibat daripada itu, pemandu lori kontena mengalami kecederaan luka di pipi kanan, lebam mata, sakit di seluruh anggota badan dan sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 / 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat terhadap harta benda.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03- 33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Semalam media melaporkan, kemalangan itu berlaku ketika dua beradik, Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir dan Alif Zahfran dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan membonceng motosikal bersama wanita berusia 54 tahun iaitu pengasuh yang juga jiran mereka.
Dalam kemalangan itu, Nurul Jannatun Assyifa maut di tempat kejadian, manakala adik lelakinya cedera di bahagian kepala.