Tumpuan :
Jenayah

Polis buru warga asing samun bersenjatakan parang

Foto hiasan

SEPANG: Polis memburu sekumpulan warga asing yang melakukan samun bersenjatakan parang di sebuah rumah di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, dan melarikan barangan kemas serta wang tunai menyebabkan kerugian RM5,000 semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, pihaknya menerima laporan polis pada jam 5.03 pagi daripada seorang lelaki berkaitan kejadian samun itu.

Menurutnya, mangsa bersama lima ahli keluarga dan seorang pembantu rumah berada di rumah ketika kejadian di mana salah seorang diikat manakala yang lain tidak dicederakan.

“Rumah mangsa dipecah masuk melalui pintu belakang pada jam 3.30 pagi di mana barang peribadi yang dilarikan membabitkan wang tunai dan barangan kemas.

“Suspek dipercayai warganegara asing bergerak secara berkumpulan dua ke tiga orang melakukan samun menggunakan senjata parang, berpakaian baju warna gelap dan bertopeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek juga menyasarkan rumah yang berhampiran dengan kawasan hutan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Pihak polis menasihatkan orang awam untuk tampil memberikan maklumat kepada polis jika mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sathiyan Balrajoo di talian 013-2060771 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03- 87774222,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini