comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru Tuan Nazrin Shah, M Sharuddin kes samun jongkong emas

Suspek dikenali Tuan Nazrin Shah Tuan Nasir dan M Sharuddin Majid diburu polis membabitkan kes samun jongkong emas. FOTO IHSAN PDRM.

SERDANG: Polis hari ini mendedahkan dua nama suspek yang menjadi buruan dalam kes samun jongkong emas bernilai RM5.9 juta milik sebuah syarikat pedagang emas di Kompleks Industri Puchong pada 13 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dikenali Tuan Nazrin Shah Tuan Nasir berusia 25 tahun dengan alamat terakhir di Taman Teratai 1, Jerantut, Pahang dan seorang lagi M Sharuddin Majid, 35 tahun beralamat di Taman Setia, Kuala Terengganu, Terengganu.

“Buat masa ini suspek belum ditahan dan kita sedang memburu mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu media melaporkan polis giat memburu dua lagi suspek bagi membantu siasatan kes samun jongkong emas seberat 16.9 kilogram di Puchong, bulan lalu.

Hussein dilaporkan berkata, kejadian samun bersenjata pada 11 pagi, 13 September itu mengakibatkan kerugian RM5.9 juta.

Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama rakan sekerjanya sedang memasukkan jongkong emas itu ke dalam kenderaan syarikat di tempat letak kenderaan Kompleks Industri Puchong.

“Empat lelaki bertopeng menaiki Perodua Axia menggunakan nombor pendaftaran palsu menghampiri, dengan suspek pertama memukul tangan dan kaki mangsa dengan kayu.

“Suspek kedua mengacukan parang, manakala suspek ketiga mengambil beg berisi jongkong emas terbabit yang berada di tempat duduk belakang kenderaan syarikat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini