Tumpuan :
Jenayah

Polis buru suspek samun, bunuh peniaga ketika hantar pesanan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Pengarah Cawangan Khas Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 37 tahun yang disyaki ada kaitan dengan kematian seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemui di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes ini masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian. Setakat ini identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dilakukan.

“Suspek bukan berasal dari negeri ini (Pahang) tetapi menetap di daerah ini. Tiada sebarang hubungan antara suspek dan mangsa.

“Mangsa menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian, manakala suspek memesan makanan daripada mangsa,” katanya ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Pengarah Cawangan Khas Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Yahaya berkata, punca kematian belum dikenal pasti kerana sedang menunggu proses bedah siasat terhadap mangsa di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.

Katanya, selepas proses bedah siasat selesai, punca kematian akan diketahui.

“Tetapi memang ada kesan kecederaan pada mayat mangsa tetapi kita tunggu laporan bedah siasat. Kita juga dapati barang kemas milik mangsa hilang,” katanya.

Yahaya mengesahkan mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Berdasarkan laporan, mayat seorang peniaga wanita ditemui di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 12.45 tengah hari.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan polis bersama pakar patologi forensik dari HTAA menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan mendapati ada unsur jenayah pada tubuh peniaga makanan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini