CHUKAI: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul beberapa individu dalam kejadian yang berlaku di Pasar Tani Padang Astaka, dekat sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden, Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, kira-kira jam 9.30 pagi.
“Kita menerima laporan seorang lelaki berusia 47, dipukul di situ dan hasil siasatan polis mendapati lelaki terbabit cedera dalam kejadian itu.
“Terdapat video tular berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan lelaki itu dipukul oleh beberapa individu, sehingga mangsa mengalami kecederaan,” katanya
Wan Muhammad berkata, siasatan mendapati lelaki itu menunggang sebuah motosikal memasuki kawasan tapak jualan terbabit.
“Lelaki itu dikatakan terlanggar salah sebuah gerai jualan di situ menyebabkan barangan jualan tumpah dan terjatuh.
“Kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tempat kejadian bertindak memukul mangsa,” katanya.
Katanya, siasatan polis juga mendapati mangsa itu OKU kategori ketidakupayaan mental.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Sehubungan itu, polis sedang giat mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Kemaman di talian 09-8592222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.