PETALING JAYA: Polis sedang mengesan penjenayah yang disyaki memecah cermin tiga kenderaan dan melarikan barang berharga dalam kejadian di Dataran Sunway, Kota Damansara di sini, pada 14 November lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, polis menerima laporan kejadian daripada tiga pemilik kenderaan pada malam hari yang sama.
“Kejadian dikatakan berlaku antara 7 malam sehingga 8.30 malam.
“Antara barangan dicuri adalah dua unit komputer riba, masing-masing sebuah tablet, pengecas mudah alih (power bank) dan fon telinga, pelbagai kad bank serta dokumen peribadi membabitkan kerugian lebih RM4,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, Shahrulnizam berkata, polis kini giat mengesan suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di aplikasi sosial X rakaman video dan gambar yang menunjukkan kejadian pecah cermin kereta di Dataran Sunway.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.