Oleh: Selwam Arjunan
KULIM: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan disyaki terbabit dalam kemalangan langgar lari yang menyebabkan kematian penunggang motosikal di Sungai Kob, di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kejadian berlaku di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Taman Sepilai kira-kira jam 7.45 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Solariz berwarna biru dari arah Taman Teknologi Tinggi Kulim menuju ke Taman Mutiara.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal disyaki telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang belum dapat dikenalpasti dan telah beredar dari tempat kejadian serta terdapat kesan serpihan kenderaan terbabit.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati kesan serpihan kenderaan di atas jalan, di mana serpihan tersebut masih baru dan tiada kesan kotor oleh pasir atau kotoran baru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, polis telah mengenalpasti mangsa sebagai Ahmad Zikry Norazman, 25, pekerja kilang berasal dari Taman Mutiara, Karangan.
Ujarnya, polis sedang mengesan saksi atau individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu.
“Kenderaan yang terlibat dipercayai rosak bumper hadapan sebelah kanan. Sehingga hari ini, pihak polis masih belum menerima laporan polis yang dibuat oleh pemandu kenderaan tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan ini diminta untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulim atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Insp. Nurzety Adawiyah Muhamad di talian 011-33982365,” tambahnya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.