comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru lelaki larikan diri selepas langgar lampu isyarat merah

Foto hiasan

PETALING JAYA: Polis mengesan penunggang motosikal yang melarikan diri selepas melanggar lampu isyarat merah di kawasan Dataran Bandar Utama, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, unit rondaan bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan rondaan cegah sebelum melihat suspek melanggar lampu isyarat merah.

Menurutnya, anggota URB cuba menahan penunggang motosikal itu dan mengarahkannya berhenti namun enggan memberi kerjasama dan terus memecut laju memasuki Jalan Masjid menghala ke Pekan Kayu Ara.

“Lelaki itu hilang jejak di belakang rumah pangsa Kayu Ara disyaki melarikan diri meredah sungai separas buku lali.

“Motosikal yang ditunggang ditinggalkan berhampiran tebing sungai bersama-sama sebuah topi keledar berwarna merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, motosikal itu dibawa balik ke Balai Polis Damansara dan hasil dari semakan lanjut mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita dan tiada rekod kehilangan dilaporkan.

“Laporan polis telah dibuat bagi tujuan siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya ditalian 03-79662222 atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Muhammad Syafiq Razali di talian 017-5707270,” katanya .

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini