Tumpuan :
Jenayah

Polis buru lelaki Indonesia disyaki terlibat kes bunuh rakan senegara

Foto hiasan

MUKAH: Polis memburu seorang lelaki Indonesia yang disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian rakan senegaranya di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata suspek berusia 30-an yang dikenali sebagai Aci telah melarikan diri selepas kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira pukul 6 petang.

Beliau berkata mangsa yang berusia 29 tahun ditetak menggunakan objek tajam menyebabkannya cedera parah di bahagian leher dan perut dalam pergaduhan dipercayai berpunca akibat perselisihan faham.

“Kita telah lancarkan Op Kesan dan Op Tutup bagi mengesan suspek di kawasan ladang di daerah ini dan daerah berdekatan di samping melakukan sekatan jalan raya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata operasi itu turut disertai Unit Anjing Pengesan K9 serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muhamad Rizal berkata beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Jarraw Madong di talian 013-8335929 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini