![](https://media.buletintv3.my/2025/02/SUSPEK.jpg)
GEORGE TOWN: Polis sedang giat mengesan suspek dikenali sebagai ‘Holy’ yang dipercayai menyerang dan mengelar seorang peniaga menggunakan pisau di Bandar Baru, Air Itam di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki terbabit atau nama sebenarnya, Ong Weei Loon, 36, dipercayai telah melarikan diri keluar dari Pulau Pinang.
Beliau turut menyangkal kes itu berpunca daripada aktiviti menjual tiket loteri atau kegiatan Ah Long seperti yang ditularkan di beberapa platform media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Siasatan polis mendapati suspek sebelum itu meminta hutangnya daripada mangsa.
“Saya juga ingin menegaskan spekulasi kes itu berkaitan ‘Ah Long’ atau aktiviti menjual tiket loteri adalah tidak benar.
“Berdasarkan maklumat daripada saksi dan kawan-kawan mangsa, mereka menyatakan memang suspek datang ke rumah mangsa untuk meminta hutang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Abdul Rozak berkata, suspek melakukan perbuatan itu seorang diri dan dua lelaki berusia 38 dan 49 tahun yang ditahan reman Isnin lalu tidak terbabit dengan kes itu dan akan dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata, bagaimanapun polis tidak menemukan pisau yang digunakan suspek di lokasi kejadian manakala mangsa yang berusia 40 tahun kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Holy diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau balai polis berdekatan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa keping gambar dan video mangsa yang sedang duduk di kerusi dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka dan badan tersebar menerusi aplikasi Telegram sejak Selasa lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.