comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru dua suspek kes samun jongkong emas 16.9 kg

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan jongkong emas pada sidang media di Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Selangor Tahun 2024 di IPK Selangor.-Foto: NSTP

SHAH ALAM: Polis giat memburu dua lagi suspek bagi membantu siasatan kes samun jongkong emas seberat 16.9 kilogram di Puchong bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian samun bersenjata itu mengakibatkan mangsa kerugian jongkong emas bernilai sebanyak RM5.9 juta.

Menurutnya, dalam kejadian pada 13 September lalu, kira-kira jam 11 pagi pengadu (mangsa) bersama rakan sekerja sedang memasukkan barangan syarikat iaitu jongkong emas ke dalam sebuah kenderaan di tempat letak kereta Kompleks Industri Puchong sebelum didatangi suspek.

“Suspek adalah empat lelaki bertopeng menaiki kenderaan jenis Perodua Axia berwarna biru menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Pengadu dipukul di bahagian tangan dan kaki menggunakan kayu oleh salah seorang suspek, manakala suspek kedua mengacukan senjata jenis parang bagi membolehkan suspek ketiga mengambil beg berisi jongkong emas terbabit yang berada di tempat duduk belakang kenderaan syarikat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Selangor Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata, pada 8 hingga 14 Oktober lalu berjaya menangkap lima lelaki dan dua perempuan warga tempatan berumur lingkungan 27 hingga 60 tahun.

“Hasil semakan rekod jenayah mendapati, empat suspek mempunyai 25 rekod jenayah lampau dan narkotik.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas kenderaan dan peralatan yang digunakan semasa samun iaitu kereta Perodua Axia, Volkswagen Passat, enam sarung tangan serta barang samun iaitu empat kepingan berwarna emas, barang serta serta wang tunai dipercayai hasil penjualan harta samun.

“Siasatan mendapati, suspek juga membeli beberapa kenderaan mewah hasil samun jongkong emas terbabit” katanya.

Beliau berkata, dua suspek dituduh hari ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan bagi pertuduhan kedua, masing-masing dituduh mengikut Seksyen 412 dan Seksyen 414 Kanun.

“Empat suspek akan dituduh esok di mahkamah sama di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, manakala seorang suspek akan diikat bon mahkamah sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaa dan polis menyeru orang ramai tampil menyalurkan maklumat kepada IPD Serdang di talian 03-80742222,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, polis memberkas seorang lelaki di Kota Tinggi, Johor, kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Seksyen U13 di sini, 6 Oktober lalu.

“Dalam kejadian jam 2.47 pagi itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM300,000 selepas suspek memecah masuk menerusi tingkap tandas rumah berkenaan.

“Suspek berusia 33 tahun itu bagaimanapun dicekup di Johor pada 9 Oktober lalu dan turut merampas hasil samun terbabit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini