KUALA LUMPUR: Lelaki dikenali sebagai Castello sedang diburu polis selepas disyaki mendalangi sindiket mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar Sentul, di sini, sejak lima bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah melakukan kegiatan itu bersama lima ahli kumpulan lain.
Menurutnya, lima rakan suspek yang semuanya lelaki berusia antara 19 hingga 52 tahun sudah ditahan di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor pada 29 November hingga 30 November lalu.
Katanya, ia susulan laporan kecurian kabel di Jalan Lang Kuning, Kepong di sini pada 29 November lalu.
“Sindiket itu menyasarkan kabel TM dengan modus operandi seolah-olah melakukan kerja penyelenggaraan di kawasan sasaran dengan turut meletakkan papan tanda.
“Kegiatan itu aktif dilakukan antara jam 4.30 pagi hingga 6.30 pagi sejak lima bulan lalu di sekitar kawasan Sentul dan Kepong.
“Kabel dipotong daripada ‘main hole’ akan ditarik menggunakan kenderaan dan dijual di kedai barangan lusuh di sekitar Gombak.
“Kegiatan itu dilakukan untuk mendapatkan wang bagi tujuan kelangsungan hidup,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, susulan penahanan itu, pihaknya merampas dua kereta iaitu satunya merupakan kenderaan milik isteri seorang daripada suspek yang ditahan dan sebuah lagi disewa, sebuah lori disyaki kenderaan curi di Kajang.
Menurutnya, turut dirampas enam telefon bimbit, 140 meter (m) kabel copper bersaiz 800 pair, 80m kabel copper bersaiz 200 pair, satu guni kabel copper seberat 840 kilogram dan alatan memotong kabel dengan keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM150,000.
“Lima suspek ditahan masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau dan empat daripada mereka sudah dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan, manakala seorang suspek dibebaskan,” katanya memaklumkan tangkapan itu juga menyelesaikan tiga kes di sekitar kawasan sentul.
Ahmad Sukarno berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kes itu di minta menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222.