comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru 3 suspek lempar bom petrol di Pantai Remis

Keadaan motosikal yang terbakar dalam insiden molotov cocktail dibaling ke sebuah rumah di Taman Bintang, semalam. – FOTO: Ihsan polis

MANJUNG: Polis sedang memburu tiga suspek dipercayai along melempar bom petrol ke sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, dalam kejadian sekitar jam 3.08 pagi, sembilan botol molotov cocktail dibaling ke arah rumah itu menyebabkan sebuah kereta Honda HR-V dan motosikal Yamaha LC milik mangsa terbakar.

Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, tiga suspek itu dilihat menaiki sebuah kereta Toyota Altis dan memakai pelitup muka ketika melakukan jenayah berkenaan.

“Bapa pengadu dikatakan menyedari kebakaran itu lalu bergegas keluar dan menjerit ke arah suspek tetapi mereka terus beredar. Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan oleh bapa pengadu.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi turut menjumpai lima helai kertas tertera tulisan bahasa Cina di luar pagar rumah mangsa yang memberi peringatan kepada pengadu supaya membayar balik hutang.

“Namun, pengadu menafikan terbabit dengan pinjaman wang tidak berlesen atau bermusuh dengan orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasbullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Orang awam yang ada maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli, melalui talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung (05-688 6222) bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini