comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis berkas suspek selepas lima jam menyamun

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat. FOTO FAIL NSTP

SUBANG JAYA: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki terbabit kes samun bersenjatakan gunting di sebuah rumah di Puchong Utama, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata suspek ditahan lima jam selepas kejadian susulan maklumat dari mangsa yang juga seorang wanita warga asing.

Katanya, dalam kejadian pada jam 9 malam itu, suspek memasuki rumah berkenaan melalui pintu depan yang tidak berkunci.

“Pengadu menjerit meminta tolong sehingga menyebabkan suspek memasukkan baju ke dalam mulut beliau sebelum mengikat tangannya dengan kain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Wan Azlan berkata suspek kemudian menyelongkar rumah wanita terbabit dan mengambil beberapa barang berharga sebelum melarikan diri.

Katanya, suspek melarikan satu bentuk cincin emas, wang tunai RM600 dan satu telefon bimbit jenis Oppo A59 warna hitam dan anggaran kerugian RM2,500.

“Susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota polis dan pegawai dari Balai Polis Bukit Puchong berjaya memberkas suspek di Taman Puchong Permai pada jam 2 pagi tadi dan merampas barang kes yang disamun dari rumah mangsa.

“Suspek direman selama enam hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini