TANGKAK: Polis berjaya menahan sepasang kekasih yang dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 17 kes pecah rumah di sekitar Tangkak, sejak beberapa bulan lalu.
Pasangan warga tempatan berusia 25 dan 44 tahun itu ditahan polis di sebuah rumah sewa di sekitar Tangkak, kira-kira jam 7.15 petang 10 Disember, lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd.Talib, berkata susulan penahanan suspek, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya resit penjualan barang kemas, wang tunai RM11,795, surat pajak gadai rantai emas, resit pembelian motorsikal dan penyata Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
“Siasatan awal polis mendapati pasangan ini aktif melakukan kegiatan jenayah itu tanpa mengira waktu khususnya ketika penghuni tiada di kediaman. Pasangan ini juga mempunyai 17 rekod jenayah lampau berhubung kes pecah rumah dan curi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Tangkak, Asisten Superintendan Noor Safarul Aswad.
Menurut Roslan, pasangan tersebut memanjat tiang sebelum memasuki bahagian bumbung kediaman mangsa dan melarikan wang tunai dan barangan berharga.
Roslan berkata, suspek ditahan reman lapan hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.