Tumpuan :
Jenayah

Polis akan tahan semula pemilik agensi umrah, berkait kes di Johor

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah agensi umrah akan ditahan semula untuk siasatan berkaitan kes penipuan di Johor selepas tempoh reman suaminya berakhir hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes penipuan yang dilaporkan di Johor itu sedang disiasat, dan pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kertas siasatan membabitkan mereka akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk ke timbalan pendakwa raya (TPR).

“Setakat ini, sebanyak 42 laporan polis diterima membabitkan 28 daripadanya dibuat oleh mangsa, 13 laporan lagi olehg pihak ejen dan kakitangan serta satu dari pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, sebelum ini seramai lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat pengendali umrah berusia antara 24 hingga 46 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan kerugian RM2.1 juta.

Siasatan awal mendapati syarikat pengendali umrah itu mula beroperasi sejak 2022 dan berpindah ke sebuah premis tiga tingkat di Sepang pada Oktober tahun lalu.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima tujuh laporan awal mengenai penipuan pakej umrah yang diiklankan melalui aplikasi TikTok dan ejen syarikat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini