KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dengan mengambil keterangan beberapa lagi individu berkaitan kes membabitkan seorang ahli politik didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihak polis mengambil keterangan tiga individu termasuk ahli politik dan suaminya.
“Kita juga sedang mengesan seorang lagi individu untuk dirakam percakapan selain turut memanggil tiga penulis artikel dalam kes itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Seksyen Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu media melaporkan PDRM sudah mengambil keterangan ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Tan Sri Razarudin dilaporkan berkata, pasangan suami isteri terbabit diambil keterangan pada Julai lalu selepas artikel pertama berhubung kes berkenaan dilaporkan.
SPRM turut akan menyiasat dakwaan pembabitan seorang ahli politik di negara ini yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit.
Ia susulan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta SPRM menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.
Dia berkata, ahli politik wanita itu adalah bekas Ahli Parlimen manakala suaminya adalah pesara kakitangan kerajaan.
Katanya, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang diterbitkan di Indonesia.
Difahamkan ahli politik itu terbabit dalam sindiket berkenaan sejak Mac 2020 dan tular di media sosial baru-baru ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.