| Oleh Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR : Kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon dilempar cat oleh individu tidak dikenali, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, cat itu dilempar di bahagian pintu dan tembok hadapan dan disedari anggota yang bertugas di pos pengawal sekitar jam 10 pagi.
“Kita percaya kejadian berlaku antara jam 7 hingga 10 pagi. Ini kerana anggota pos pengawal memaklumkan kejadian itu belum berlaku semasa dia datang bertugas awal pagi tadi. Laporan dibuat kepada polis sebaik kejadian disedari.”
“Siasatan membawa kepada penemuan dua beg plastik berisi cat berwarna biru dan dua beg plastik berisi cat berwarna merah berhampiran tempat kejadian,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.
Polis katanya akan meneliti kamera liat tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, termasuk di lampu isyarat Pantai Johor dan Alor Merah berikutan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kediaman rasmi Menteri Besar.
“Pihak forensik sudah menjalankan siasatan. Tiada kerosakan serius berlaku,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.