Tumpuan :
Jenayah

PGA9 tumpaskan penyeludupan lembu, barangan runcit bernilai RM706,750

Barangan runcit yang dirampas anggota PGA9 sekatan jalan raya (SJR) Simpang Empat Salam, Rantau Panjang semalam. – FOTO: Ihsan PGA

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 (PGA9) berjaya menumpaskan dua kes penyeludupan melibatkan lembu dan barangan runcit dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM706,750 dalam serbuan berasingan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata dalam operasi pertama, pihaknya merampas barangan runcit seludup bernilai RM480,000 di sekatan jalan raya (SJR) Simpang Empat Salam, di sini, jam 2 petang semalam.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 53 tahun yang memandu sebuah treler ditahan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa kotak mengandungi barangan seludup dipercayai dari Thailand. Mereka menggunakan modus operandi dengan menyorok kotak berkenaan di bahagian tengah di antara muatan yang mempunyai permit yang sah.

“Anggota kemudian menahan pemandu serta merampas treler dan barangan runcit untuk dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti, di sini sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi siasatan lanjut

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, manakala bagi rampasan lembu seludup pula pihaknya merampas 13 ekor lembu seberat 8,450 kilogram (kg) bernilai RM226,750 di hadapan sebuah premis di Kampung Bakong, Pasir Mas, jam 2.35 pagi, kelmarin.

“Anggota menahan lori dipandu suspek lelaki berusia 47 tahun, sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati kesemua ternakan terbabit tidak mempunyai dokumen sah selain dipercayai dibawa seludup melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

“Suspek disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup lembu berkenaan untuk pasaran tempatan. Anggota kemudian menahan suspek dan merampas lori serta lembu untuk tujuan siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

Menurutnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini