Tumpuan :
Jenayah

PGA tahan 3 lelaki, rampas dadah bernilai RM1.02 juta 

FOTO: PGA

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan merampas 63,910 biji pil yaba dan dua kilogram (kg) syabu bernilai RM1.02 juta di Rantau Panjang, semalam.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan yang dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Briged Tenggara pada 6 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga Thailand.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya melakukan serbuan di dua rumah di Lubok Setol, Rantau Panjang hasil intipan dan maklumat diterima pihaknya.

FOTO: PGA

Katanya, susulan serbuan itu menemukan 63,910 biji pil yaba dan 2kg syabu yang disembunyikan dalam beg galas di rumah terbabit.

“Kita berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga Thailand berusia antara 31 hingga 36 tahun dipercayai kumpulan sindiket terbabit selepas berlaku pergelutan.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, kesemua suspek dan hasil rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini