![](https://media.buletintv3.my/2025/02/a5n8tar8-BARANGAN-RAMPASAN.jpg)
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah menumpaskan sindiket jenayah dan penyeludupan barang bersubsidi menerusi 20 serbuan di beberapa daerah sejak 1 Februari lalu, dengan nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM8.8 juta.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi itu membawa kepada penahanan 33 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan haram tersebut.
“Kesemua mereka terdiri daripada tujuh lelaki warga Filipina, enam lelaki warga Indonesia serta 19 lelaki dan seorang wanita warga tempatan,” katanya .
Menurutnya, PGA Sabah melaksanakan beberapa operasi termasuk Op Taring Eszzone, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah dan Road Check Point (RCP) dalam usaha membanteras jenayah serta penyeludupan.
“Antara barang rampasan ialah diesel, petrol, minuman keras, minyak sawit mentah (CPO), dadah jenis syabu, rokok, gula peket, barangan sejuk beku termasuk ayam dan daging, makanan sejuk beku serta hasil laut yang dipercayai ditangkap di luar kawasan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan operasi ini turut memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan minyak serta penjualan ayam dan daging sejuk beku tanpa sijil halal atau permit import sah di pantai barat dan timur Sabah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.