Tumpuan :
Jenayah

PGA Sabah rampas barangan seludup bernilai RM22.3 juta sepanjang tahun 2024

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias.

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya merampas barangan seludup bernilai RM22.3 juta sepanjang tempoh tahun lalu melalui 202 serbuan yang dilakukan di negeri ini.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias, berkata dalam tempoh sama, pihaknya juga berjaya menahan 413 individu, terdiri 380 lelaki dan 33 wanita.

Beliau berkata, serbuan itu membabitkan pelbagai jenis aktiviti penyeludupan, termasuk minyak diesel, minyak sawit mentah (CPO) serta barangan seperti ayam dan daging sejuk beku tanpa sijil halal yang sah di sekitar kawasan pantai barat dan timur Sabah.

“Satu daripada kejayaan terbesar pada 4 Disember, iaitu Task Force Risik IP Briged Sabah PGA menjalankan serbuan di kawasan KKIP Sepanggar dan menahan dua lelaki warga tempatan.

“Rampasan itu membabitkan 6,988 kotak ayam sejuk beku, 472 kotak sotong sejuk beku, 140 kotak ikan sejuk beku, serta satu kontena sejuk beku dan sebuah van, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

“Selain itu, pada 19 September, serbuan oleh Task Force Risik Batalion 14 PGA Tawau di Kampung Beruang Merotai-Tawau berjaya merampas 112,600 kilogram CPO bersama tiga lori tangki bernilai RM1.3 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, serbuan ketiga terbesar adalah pada 9 Disember di perairan Pulau Tigabu, Kudat, apabila Infantri Kompeni ‘A’ Batalion 16 PGA berjaya menahan empat lelaki warga Indonesia dan merampas sebuah kapal bersama 510 kilogram pelbagai hasil laut, bernilai RM858,000.

“Pada 21 Mei, Task Force Risik Batalion 15 PGA Sandakan juga berjaya merampas 8,800 liter diesel bersama dua lori dan treler, bernilai RM749,270 dalam satu serbuan di Batu 5 Jalan Labuk.

“Briged Sabah PGA secara khususnya melaksanakan pelbagai pendekatan serta tindakan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan barang-barang bersubsidi,” katanya.

Abdul Rani berkata, operasi membanteras penyeludupan itu membabitkan pelbagai pendekatan dan dijalankan melalui Op Taring Eszzone, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah, dan Road Check Point, melibatkan pasukan PGA dari seluruh negeri ini.

“Serbuan dan operasi ini dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota terdiri daripada IP Briged Sabah PGA, Batalion 14 PGA Tawau, Batalion 15 PGA Sandakan, Batalion 16 PGA Kota Kinabalu, Batalion 17 PGA Lahad Datu, Batalion 20 PGA Beluran, Batalion 21 PGA Keningau dan Batalion 22 PGA Kunak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini