Tumpuan :
Jenayah

Pesara swasta kerugian RM108,000 terpedaya pelaburan saham tidak wujud

JASIN: Seorang pesara swasta di daerah ini kerugian RM108,000 selepas terpedaya skim pelaburan saham dalam talian tidak wujud yang menawarkan keuntungan berganda sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, berdasarkan laporan, lelaki berusia 73 tahun itu tertipu selepas melihat iklan di Facebook.

Menurutnya, tertarik dengan tawaran pulangan tinggi dijanjikan dalam masa singkat, mangsa menekan pautan di iklan berkenaan untuk berhubung dengan suspek.

“Panggilan itu kemudian disambungkan ke aplikasi WhatsApp dan suspek menerangkan mengenai pakej pelaburan itu.

“Sebelum menyertainya mangsa diarah memuat turun aplikasi (Ats-Pro) dan akan diberikan wang RM6,000 untuk membeli seunit saham.

“Mangsa kemudian menerima pulangan keuntungan kali pertama sebanyak RM3,000 menyebabkan dia teruja dan berhasrat menambah jumlah pelaburan bagi mendapatkan keuntungan lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Jamil berkata, siasatan mendapati, sejak Ogos lalu, mangsa membuat beberapa pindahan wang ke empat akaun bank berbeza diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM108,000.

Katanya, mangsa kemudian mendapati keuntungan yang diperoleh melalui aplikasi Ats-Pro adalah RM373,287.67, hanya dalam tempoh dua bulan.

“Bagaimanapun mangsa berasa tertipu apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan berkenaan dan diarahkan oleh suspek untuk membuat bayaran tambahan RM60,000, kononnya sebagai cukai pengeluaran wang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jasin dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini