Tumpuan :
Jenayah

Pesara rugi wang simpanan RM9.5 juta diperdaya pelaburan kripto

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Pesara jurutera rugi RM9.5 juta wang simpanan, selepas menyertai pelaburan mata wang kripto tidak wujud secara dalam talian yang menawarkan pulangan dengan kadar tinggi dengan keuntungan mudah.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata pihaknya menerima laporan daripada pesara berusia 63 tahun, semalam.

Pesara itu memaklumkan kejadian bermula pada bulan Julai tahun lalu, apabila dia melihat iklan pelaburan kripto di media sosial.

“Dia menekan pautan yang tersedia dan kemudian telah masuk ke kumpulan WhatsApp serta dihubungi dua individu yang memberikan penerangan berkaitan cara-cara melabur dengan keuntungan 50 kali ganda daripada jumlah yang dilaburkan.

“Dia yang berminat dengan tawaran telah memuatturun dan mendaftar akaun pelaburan dalam aplikasi diarahkan bertujuan memantau pelaburan yang dibuat.

“Pesara itu membuat 29 transaksi pembayaran antara Oktober hingga Disember lalu di 11 akaun bank yang berbeza dengan jumlah RM9.47 juta,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kumar, pesara itu telah menyemak aplikasi dimuat turun dan mendapati pelaburannya mencatatkan keuntungan RM88 juta.

Pesara itu berhasrat mengeluarkan keseluruhan wang pelaburan tersebut, namun diarahkan untuk membuat pembayaran berjumlah RM800,000.

“Warga emas berkenaan bagaimanapun enggan membuat pembayaran tersebut dan percaya telah ditipu setelah kedua-dua individu yang mangsa berurusan sebelum kerana gagal dihubungi.

“Dia seterusnya membuat laporan polis hari ini dengan kerugian dialami RM9.47 juta.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dan dalam masa singkat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini