![](https://media.buletintv3.my/2025/01/WhatsApp-Image-2025-01-17-at-17.25.30.jpeg)
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Seorang pesara swasta mengalami kerugian sebanyak RM3.2 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan melalui laman Facebook.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mangsa, seorang lelaki berusia 77 tahun, telah menyertai pelaburan saham di platform yang dikenali sebagai EFA Trade berpusat di Singapura.
“Mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan dan telah diyakinkan untuk membuat pelaburan dalam 27 kaunter saham.
“Bagi tujuan pelaburan tersebut mangsa telah diminta untuk membuat 15 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank yang berbeza berjumlah RM3.21 juta,” katanya.
Pada penghujung Januari 2025, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburan tersebut akan ditutup dan perlu membayar komisen sebanyak 15 peratus daripada keuntungan untuk mengeluarkan pulangan.
Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas mendapati dokumen pelaburan yang diberikan kepadanya adalah palsu.
Menurut polis, modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di media sosial.
“Hasil pelaburan mangsa telah mencecah RM22 juta seperti yang ditunjukkan dalam aplikasi EFA Pro.
“Mangsa menyedari telah diperdaya apabila mendapati bahawa dokumen pelaburan yang diberikan kepada mereka adalah palsu.
“Akibatnya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM3.21 juta selepas membuat pelaburan saham di syarikat EFA Trade,” tambahnya.
PDRM menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap tawaran pelaburan di platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
Mereka juga disaran untuk menyemak kesahihan syarikat pelaburan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum melabur.
Sebarang maklumat mengenai kes seumpama ini boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.