Tumpuan :
Jenayah

Pesara rugi RM230,000 terpedaya dengan ‘phone scam’

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang pesara mengalami kerugian RM229,606 selepas terpedaya individu menyamar wakil ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 58 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai wakil dari ibu pejabat KKM Putrajaya pada 25 November lalu.

Katanya, suspek memaklumkan mangsa dikatakan mengambil ubat secara berlebihan dan siasatan polis akan dibuat terhadap mangsa.

“Mangsa kemudiannya berkomunikasi dengan pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Hakim yang memaklumkan mangsa terbabit dalam dua kegiatan jenayah.

“Mangsa diminta untuk memberi akaun bank milik mangsa kepada polis dan mangsa diarahkan untuk memasukkan semua wang simpanan mangsa ke dalam akaun bagi tujuan audit dan siasatan.

“Mangsa diarahkan untuk memasukkan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya ke dalam satu kotak kecil dan diletakkan di atas tong sampah berhadapan sebuah kedai serbaneka di Pekan sebelum polis mengambil kad itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa dimaklumkan selepas siasatan selesai, kad bank akan dipulangkan.

“Semalam, mangsa pergi ke bank dan mendapati sebanyak 85 transaksi pemindahan wang keluar daripada akaun yang berjumlah RM229,606 yang juga wang simpanan.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini