comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara maut dirempuh pemandu mabuk

Lokasi kejadian lelaki dikatakan dilanggar pemandu mabuk di Kampung Padang. – FOTO : NSTP

MELAKA: Hanya kerana menegur supaya tidak membuat bising, pesara maut akibat dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk, dalam kejadian di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia petang semalam selepas kira-kira 11 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, akibat pendarahan dalaman kepala, selain kecederaan pada badan dan kaki.

Sebelum kejadian iaitu kira-kira 12 tengah malam, dua lelaki minum arak dalam sebuah kereta di parkir belakang sebuah restoran di Plaza Pandan Malim, di sini.

Kira-kira 10 minit selepas ditegur mangsa, kedua-dua lelaki terbabit datang semula dengan menaiki kereta sama sambil memasang muzik yang lebih kuat sebelum beredar meninggalkan kawasan itu.

“Namun, secara tiba-tiba kereta itu cuba merempuh saya, tapi mujur saya sempat mengelak dan berlari ke belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berkenaan.

“Saya kemudian lihat kereta itu berpusing dan menuju ke arah bapa yang tidak sempat mengelak dan hanya mampu berpaut di atas bonet hadapan dan terseret sejauh kira-kira 20 meter ke arah belakang kedai,” katanya.

Menurutnya, dia menjerit meminta tolong dan berkejar ke arah ayahnya yang terjatuh dan berlumuran darah di belakang kepala, dipercayai akibat terhantuk pada tebing batu longkang.

Jenazah arwah yang juga bapa kepada tujuh anak akan disembahyangkan di Masjid Kampung Padang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, hasil siasatan, pihaknya memberkas lelaki berusia 28 tahun yang direman tujuh hari mulai semalam dan masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kes ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini