![](https://media.buletintv3.my/2023/11/CMS-BTV3-4.jpg)
Oleh: Zahir Senapiah
BATU PAHAT: Seorang pesara sebuah agensi kerajaan kerugian hampir RM300,000 apabila diperdaya oleh satu skim pelaburan tidak wujud melalui Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa wanita berumur 62 tahun itu membuat laporan mendakwa dirinya ditipu di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada Ahad lalu.
Katanya, kejadian bermula pada April lalu apabila mangsa berurusan dengan seorang lelaki menggunakan Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan bitcoin yang menggunakan nama Syarikat Bitcoin Yoamax,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa mula melabur sebanyak lebih RM35,000 melalui tujuh transaksi akaun bank berbeza secara berperingkat.
Ujarnya, mangsa turut menyerahkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan selain maklumat perbankan untuk urusan berkenaan serta memuat turun aplikasi Yoamax.
Mangsa dihubungi kononnya telah mendapat keuntungan daripada pelaburan awal, namun diminta untuk memasukan wang berjumlah RM164,417 jika ingin mengeluarkan duit berkenaan.
Menurut ACP Ismail lagi, suspek memberitahu mangsa bahawa wang berkenaan akan dikembalikan sekiranya mangsa tidak ada terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Aktiviti penipuan tidak berakhir setakat itu saja, apabila mangsa juga dikehendaki memasukkan wang berjumlah RM99,636 atas tujuan pembayaran pertukaran wang asing.
Bagaimanapun hingga hari ini mangsa masih belum mendapat sebarang bayaran serta keuntungan yang dinyatakan sebelum membuat laporan polis semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 10 tahun dan sebat serta denda, katanya.