Tumpuan :
Jenayah

Pesara kerajaan kerugian hampir RM100 ribu, terpedaya skim pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Pesara kerajaan kerugian RM91,060 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 85 tahun itu menerima pesanan iklan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 29 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa ditawarkan pakej pelaburan ‘Madinah Emas’ yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

“Mangsa ditawarkan pakej VIP (orang kenamaan) dengan modal RM500 dan dijanjikan pulangan untung sebanyak RM15,800 dalam tempoh empat jam.

“Akibat gelap mata, mangsa membuat pemindahan wang sebanyak 26 kali ke enam akaun bank berasingan seperti diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang menunggu sekian lama berasa kecewa kerana tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan lalu membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dan membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum membuat pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat,” katanya.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini