comscore
Tumpuan :
Jenayah

Perompak lempar ‘sambal tumis’ cederakan mangsa samun

Foto hiasan

JASIN: Seorang warga emas cedera apabila dibelasah dan dibaling sambal tumis dalam kejadian samun di Kampung Ayer Tawar, Merlimau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan polis mendapati mangsa yang berusia 61 tahun sedang berbaring sendirian di katil berdekatan pintu belakang rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.

Jelasnya, tiba-tiba muncul seorang lelaki dengan memakai topi keledar dan pelitup muka bertindak membaling cecair lada disyaki sambal tumis ke muka mangsa.

“Suspek terbabit kemudiannya bertindak agresif dengan menampar mangsa sebelum menghentaknya dengan kerusi plastik bertubi-tubi.

“Mangsa cuba menahan tetapi tidak berdaya hingga cedera di kepala akibat hentakan itu serta menjerit meminta tolong, namun tiada sesiapa yang datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Jamil berkata, suspek kemudiannya mengambil beg sandang mangsa mengandungi dompet berisi wang RM400, empat kad juruwang automatik (ATM), kad pengenalan serta lesen memandu dan terus melarikan diri.

“Siasatan mendapati mangsa tidak bekerja akibat kemalangan dan mengalami kesukaran berjalan.

“Jarak tempat kejadian dengan jalan utama lebih kurang 500 meter,” katanya.

Beliau berkata, polis kini memburu suspek dipercayai lelaki Melayu berusia 30-an dan sesiapa yang mengetahui kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun tanpa senjata,” katanya sambil menegaskan siasatan mendapati tiada penggunaan senjata dalam kejadian samun itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini