comscore
Tumpuan :
Jenayah

Perhimpunan LCS: Polis Selesai Rekod Keterangan 13 Individu

KUALA LUMPUR: Polis selesai merekodkan keterangan 13 individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu beberapa individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 3 petang bersama peguam dan mereka kemudian dilihat meninggalkan IPD itu sejam kemudian.

Antara yang hadir ialah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How, Setiausaha Agung MUDA Amir Abd Hadi serta aktivis Siti Kassim.

Ahad lepas, kira-kira 60 individu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, mahasiswa, ahli politik serta beberapa individu berhimpun di hadapan pusat beli-belah itu bermula 2 petang.

Susulan itu polis membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan berkenaan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis. — BERNAMA

Loading...
Terkini